Thursday, 24 November 2011

ADAKAH MENONTON BOLA SEPAK ITU HARAM??



Kepada semua peminat bola sepak mari kita kongsikan sedikit ilmu yang saya sendiri pun peroleh dari Youtube dan beberapa tokoh ilmuan islam. Jika hendak dibandingkan dengan sukan lain, saya merasakan sukan bola sepak lebih ramai peminatnya. oleh sebab itu tergerak hati ini untuk menulis berkaitan bola sepak. Oleh itu tidak hairanlah ramai anak muda ingin menjadi bintang dilapangan ini supaya terkenal dan kaya. 

Adakah menonton bola sepak itu haram? pertanyaan seorang sahabat jauh di kampung sangat mengejutkan diri. Seorang yang masih muda bertanyakan soalan yang tidak pernah aku fikir sebelum ini. Manakan tidak, aku juga walaupun bukan acapkali menonton di stadium setidak-tidaknya adalah 7,8 kali aku ke sana menyaksikan pertandingan.Aku jawab spontan, "xsalah kot,janji balik nanti sembahyang". Kata sahabat tersebut jangan bagi jawapan mengikut kepada 'Adat diisi lembaga dituang' tapi berpandukanlah 'Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat' @ 'Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah'. yakni jangan mengikut kebiasaan barangkali biasa itu salah tapi ikutlah syarak supaya ia tidak bertentangan. Nah, sekali lagi aku terpukul. Baik, soalan itu aku sahut wahai budak muda. 

Hukum Bersukan


Bersukan disyariatkan dalam islam, selagi ianya bermaksud untuk melatih badan menjadi sihat,kuat,bersemangat dan jauh dari kelesuan supaya terhindar daripada segala penyakit dan selamat daripada dosa-dosa. Syaikhul Islam berkata 'bermain bola jika bertujuan memanfaatkan kuda (polo) atau dengan manusia sahaja adalah untuk melatih kesiagapan diri dalam menghadapi musuh atau berjihad dan selama tujuan berjihad itu kerana Allah dan RasulNya maka ini adalah baik. Tetapi jika sukan itu memudaratkan kedua-duanya maka hal itu dilarang.  Sheikh Ibnu Utsaimin pula berkata " bersukan itu tidak salah malahan dianjurkan agama selama ianya tidak melalaikan perkara wajib. Jika melalaikan perkara wajib maka hukumnya haram. Jika sukan itu menjadi rutin harian dan melalaikan perkara wajib maka dia telah mensia-siakan waktu dan hukum yang paling ringan adalah makruh. dan jika bersukan menampakan paha (bercelana pendek) maka perkara itu dilarang kerana pendapat yang lebih benar adalah menutup aurat bagi pemuda lelaki itu wajib". ini diantara pendapat yang kuat daripada dua tokoh ulama islam bak kata pepatah 'belajar dari yang pintar, berguru dari yang pandai'.


Isu yang berlaku di Malaysia


Kebanyakan (tidak semua) diulangi sekali lagi (tidak semua) antara pemain dan penyokong-penyokong bola sepak menunda perkara yang lebih baik daripada agama. Kebanyakan mereka menangguhkan waktu solat dan kemungkinan besar meninggalkan terus solat yang wajib. (Ustaz Azhar Idrus). Saya rasa kata-kata ustaz ini berasaskan memandangkan stadium dipenuhi sejak sebelum maghrib sedangkan perlawanan bola sepak bermula pada pukul 8.45 - 9.00 malam. Di saat bilal masjid melaungkan azan menyeru kearah kebaikan, disaat itulah pekikan seperti 'hobin jang hobin','peteh teganu peteh','gomo kelate gomo', juga tak kurang hebat bergema. Tidak salah menyokong namun hormatilah azan. Kita harus mengetahui mana yang hak dan batil, 'bodoh-bodoh ikan sepat, tak makan pancing emas'.

Ketika perlawanan berlansung, kebanyakan pemain tidak menutup peha(celana pendek) padahal semua tahu bahawa hadis sohih menyebut "paha adalah aurat"(hadis riwayat Bukhari 2/112). Nabi bahkan melarang sekeras-kerasnya "janganlah engkau menyingkap pehamu, dan jangan lihat paha orang hidup ataupun orang mati (hadis riwayat Abu Dawud 3140)

Pemain akan bermain bermati-matian dan ada kalanya tidak menghiraukan keselamatan diri daripada kecelakaan dan kecederaan demi peminat yang memberi sokongan padu. Ada antaranya patah kaki, patah tangan, darah kepala dan sebagainya. dan ini terbukti dengan adanya pihak perubatan seperti ambulan dan fisio.

Perlawanan bola sepak seringkali mencetuskan permusuhan, pergaduhan , benci membenci bagi mempertahankan persatuan kesukaan mereka. Lontaran kata - kata kesat, balingan botol, menganiaya sesiapa sahaja yang mereka temui di tepi-tepi jalan dan macam-macam lagi perkara kotor yang dilakukan. pada mulanya mereka berkata 'Adat juara kalah menang, adat saudagar laba rugi' tapi selepas pasukan mereka kalah mereka katakan 'kami anak jantan, pantang kami berundur dari lapangan'@'alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang pasukan kami pitam,biar sama-sama kita pengsan'. Kesabaran yang dianjurkan agama dilupakan, ini lah yang dimaksudkan ulama mengenepikan perkara-perkara wajib, orang seperti ini diibaratkan 'harap pada yang ada, cemas pada yang tiada'. Bagaimana hendak besatu ketika menyokong slogan persatuannya sahaja sudah menakutkan.'hobin jang hobin','peteh teganu peteh','gomo kelate gomo','pulun kedah pulun'. Maskot persatuan juga tidak kurang hebat 'seladang','harimau'. maka tidak hairanlah sebahagian, saya ulang (sebahagian) penyokongnya bertindak seperti binatang. Ada kalanya sebahagian penyokong ini hadir bukan untuk menyokong, namun lebih kepada hendak provokasi dan memainkan sentimen-sentimen agama dan kenegerian, tidak lebih dari itu. Ini adalah tidak lain melainkan semakin terasingnya ajaran agama islam dan meratanya kebodohan umat kepada agamanya. Nabi bersabda "sesungguhnya termasuk tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu agama, meratanya kebodohan,diminum khomr dan berleluasanya zina"(Bukhari 6310).

Memburuk-burukan individu juga menjadi kebiasaan di Malaysia. Jika pemain persatuan sokongan mereka tidak maksimum kemampuanya nescaya ada sebahagian individu mengutuk dan memburuk-burukan. Tidak salah memberikan pendapat dan cadangan asalkan membina. yang dikutuk bukanlah skill, terdapat juga sebahagian penyokong yang menghina sehingga peribadi individu tersebut. sebagai contoh kaki bengkok,kepala besar,kepala senget. sedarkah anda siapa creator kepada anggota tubuh yang anda hina tersebut? Ada juga yang mengeluarkan kata-kata hinaan seolah-olah mereka pernah mendapat anugerah kasut emas piala dunia. pelbagai page-page provokasi dan memburukan individu dibuat di laman-laman sesawang seperti di Facebook. sebagai contoh 'wh#t the fu#k ','ban#ang punya  pemain' dan sebagainya. Ingatlah nabi dan Allah menganjurkan perpaduan antara ummah. Jangan kerana sukan dan maruah negara kononnya, ajaran agama kita ketepikan. Namun komen/teguran yang membina digalakan dalam islam.


Hukum Menonton bola sepak 


Hukum menonton bola sepak adalah harus, dibolehkan dalam agama. Namun ianya valid sehingga tidak melanggar perkara-perkara yang madhorot. Antara perkara-perkara madhorot menurut ustaz Abu Ibrohim Mohamad Ali (akademik islam nusantara) dari majalah Al-Furqon adalah

1. Mensia-siakan waktu dengan meninggalkan perkara yang wajib. Dalil "sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal solih.mereka berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran"(Al-Ashr surah ke 103 ayat 2 dan 3).

2.  Mensia-siakan harta. Membeli tiket pada harga yang tinggi namun untuk perkara yang lebih wajib membakilkan hartanya. Rasulallah melarang perkara tersebut, rujuk Bukhari 2408 dan riwayat Muslim 593.

3. Kebanyakan bintang bola sepak adalah kafir. Seseorang peminat mengkagumi pemain kesukaanya dan ini terbukti apabila ada diantara pemuda-pemuda muslim lebih senang memakai pakaian dengan nama pemain kafir di belakang bajunya dari baju yang mempunyai identiti islam. Ada juga yang terjangkit penyakit angan-angan(angau) sehingga mengetahui segala selok belok kehidupan pemain idola kafir tersebut sedangkan teladan terbaik seperti sahabat Rasulallah sendiri masih belum dikenali apatah lagi dikuasai. Mendengar nama sahabat sahaja belum pernah, saya sertakan contoh dan anda dengan jujur cuba jawab dan nilaikan lah diri kita pada tahap yang mana.  Ikramah? Abu Ubaidah Al Jarrah? Amru Al Ash? Saad bin Abi Waqas? Tariq bin Ziyad? Abu Ayyub Al-Ansori? Abu Dzar Al-Ghifari? Mush'ab bin Umair ? Salman Al Farasi? Thalhah bin Ubaidillah? Utbah bin Ghazwan? berapa markah anda? nilaikan. Jangan kita merasa ilmu sirah kita cukup hanya sekadar mengenali Abu Bakar Assiddiq,Umar Al-khatab, Ali bin Abu Talib dan Uthman Affan.

4. Kebanyakan pemain menampakan peha dan tidak menutup aurat(hadis seperti diatas)

5. Agenda yahudi? itu saya tak mahu jelaskan sebab tiada bukti atau dalil yang kuat. Tapi kalau untuk direnung dan fikirkan menjadi hak anda.


Bola Sepak yang dibolehkan

Bermain kerana diniatkan untuk menyihatkan badan, supaya lebih sihat,kuat,tidak membuka aurat, tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain, tidak disertai dengan perkara-perkara yang mempersenda agama islam dan syarak,tidak menghalangi perkara kewajipan, tidak menjadikan perkara rutin yang mengalahkan benda yang lebih penting maka hukumnya harus.

 Demikian juga menonton bola sepak , para pemainya menutup aurat,tidak menghabiskan waktu,tidak mensia-siakan watu, tidak melalikan perkara yang wajib, tidak ketagihan, terlepas daripada perkara yang dilarang agama seperti ucapan kotor,pujian berlebihan,mengagongkan pemain kafir pada sifat dan peribadinya maka ianya diharuskan.


sumber :
Kitab Kuratol Qodam bainal Masholih wal Mafasid min Wijhati Nadhorin Syari'ah karya Syaikuna Abu Ubaidah Masyur
Ceramah Ustaz Azhar Idrus
majalah Al-Furqon
http://sebaikbaikcahaya.wordpress.com/2011/07/

p/s : saya pun jenis suka jugak tengok bola di stadium. Artikel di bukan nak burukan sesiapa. untuk diri sendiri jugak. Lepas ada ilmu boleh la perbaiki diri mana yang kurang. InsyaAllah..
 

1 comment: